GAZA: Di halaman Hospital Syuhada Al-Aqsa di Deir Al-Balah (zon tengah Gaza), seorang paramedik Ahmed Abu Khdeir terbaring lemah di atas katil, menjalani rawatan sambil menghirup udara yang dicemari debu kesan pengeboman.

Ahmed mengalami kecederaan akibat serangan tentera Israel lebih sebulan lalu yang menurutnya secara spesifik menyasarkan pasukan pertahanan awam Palestin semasa mereka bertungkus lumus menyelamatkan penduduk Gaza yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

"Tentera Zionis Israel tidak membezakan antara lelaki, wanita, kanak-kanak, ambulans mahupun pasukan penyelamat ketika melancarkan serangan. Kesemua kami terdedah kepada serangan," katanya seperti dipetik Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

"Israel memang sengaja dan tidak teragak-agak menyasarkan pasukan pertahanan awam dan ambulans, walaupun jelas mereka ini tidak memberi sebarang ancaman," katanya.

Ahmed menjelaskan beliau cedera akibat serangan udara Israel ketika menyertai usaha mencari dan menyelamat di sebuah rumah di selatan Gaza.

Beliau berkata tentera Israel mengebom rumah itu sehingga tiga kali berturut-turut mengakibatkan tiga penduduk awam Gaza syahid dan beberapa anggota paramedik cedera.

"Semasa kami tiba rumah itu, kami dibom menyebabkan saya cedera di bahagian kepala dan kaki. Tiga rakan saya juga turut cedera dalam pengeboman itu.

"Biasanya kami berusaha menyelamatkan apa yang boleh dan akan menggeledah rumah-rumah berhampiran bimbang jika terdapat mangsa cedera yang terperangkap.

"Kemudian saya dan rakan naik ke bumbung rumah berhampiran bagi meluaskan carian mangsa, sebaliknya kami turut diserang dengan dua lagi peluru berpandu," katanya.

Ahmed yang mengalami kecederaan ketika itu cuba merangkak ke tingkat bawah memeriksa keadaan rakannya tetapi keadaannya sangat lemah akibat kecederaan parah sehingga tidak mampu bergerak.

Beliau hanya mampu duduk menunggu bantuan tiba dan bernasib baik apabila beberapa pemuda Gaza datang dan menyelamatkannya.

Menurut Ahmed tentera Israel sememangnya tiada 'garis merah' apabila melakukan serangan, tetapi serangan selepas tempoh jeda berakhir baru-baru ini disifatkannya sebagai lebih agresif dan kejam.

"Mereka telah membunuh tujuh rakan sekerja saya sebelum ini, jadi perasaan takut itu memang ada tapi ini adalah kerja yang mesti kami laksanakan dan kami sentiasa memohon agar dilindungi Allah selain berharap kepada undang-undang antarabangsa walaupun ia jelas tidak pernah dipatuhi Israel," katanya.

Menurutnya beliau percaya Israel sememangnya bertekad untuk membunuh rakyat Palestin seramai mungkin.

"Jika tidak mengapa perlu mengebom kawasan kediaman atau sebuah rumah berkali-kali walaupun jelas ia telah musnah?" soalnya.

Beliau berkata pasukan penyelamat bekerja mengikut garis panduan ditetapkan dan nombor plat kenderaan ambulan sememangnya diketahui oleh tentera Israel setiap kali operasi menyelamat dijalankan.

"Ini bermakna serangan yang dilancarkan terhadap kenderaan pasukan penyelamat adalah disengajakan kerana tentera Israel tahu setiap arah pergerakan mereka," katanya.

Menurut beliau, selain risiko kehilangan nyawa sendiri, cabaran terbesar yang mereka hadapi ketika melakukan operasi menyelamat termasuklah kekurangan alatan seperti jentolak, pemotong konkrit, peranti elektronik bagi mengesan kedudukan mangsa selain kehilangan banyak lagi peralatan lain akibat dirampas pihak Zionis.

"Kami terpaksa melakukan sebahagian besar operasi menyelamat dengan tenaga manusia sahaja tanpa dilengkapi sebarang peralatan dan kami juga hanya terdiri daripada sukarelawan yang merupakan bekas ahli pasukan penyelamat sahaja," katanya.

Ahmed berkata antara pengalaman menyedihkan dilaluinya semasa operasi menyelamat adalah diserang tentera Israel ketika bekerja selama 24 jam tanpa henti berhampiran sebuah stesen minyak di perkampungan al-Qarara selatan semenanjung Gaza.

"Saya pergi ke arah serangan disasarkan iaitu sebuah kilang produk tenusu namun tidak menjumpai mana-mana mangsa yang cedera atau tertimbus di tempat kejadian.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara mengerang dan ia datang dari tapak runtuhan kilang yang diserang itu.

"Tanpa membuang masa saya menggali tapak runtuhan itu dan menemukan sepasang kaki dan menariknya. Rupa-rupanya ia milik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun bernama Aisha Dalloul.

"Aisha memberitahu saya sembilan lagi ahli keluarganya serta beberapa keluarga lain termasuk sembilan kanak-kanak turut berada di bawah runtuhan itu", katanya.

Ahmed berkata beliau terpaksa membawa Aisha meninggalkan runtuhan itu dengan hati yang sayu kerana tidak mampu menyelamatkan mangsa lain yang terperangkap disebabkan ketiadaan peralatan.

"Sehingga kini saya masih berasa sedih dan perit setiap kali mengenangkannya..

"Salah satu detik yang paling teruk dan menyedihkan ialah terpaksa meninggalkan tapak runtuhan dengan mengetahui bahawa masih terdapat mangsa hidup di bawahnya tetapi tidak mampu melakukan apa-apa", ujarnya.

Sehingga Isnin, bilangan angka kematian di kalangan kakitangan pertahanan awam di Gaza meningkat kepada 26 orang, menurut WAFA.

Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan setakat hari ini seramai 16,250 orang terbunuh sejak peperangan bermula pada 7 Okt lepas.

Kira-kira 7,000 lagi masih hilang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan termasuk 4,700 kanak-kanak dan wanita kerana pasukan penyelamat gagal mencari dan mengeluarkan mangsa ekoran kekurangan peralatan.

-- BERNAMA